Sebelum menulis resume, cuba lihat sampel-sampel resume yang ada dalam talian. Masa kini, hampir semua resume perlu ditulis dalam Bahasa Inggeris kecuali perlu dalam Bahasa Melayu seperti untuk jawatan kerajaan. Oleh itu, jika anda sedikit lemah di dalam Bahasa Inggeris, minta kawan atau sesiapa yang fasih dalam Bahasa Inggeris. Jika tiada, elakkan menggunakan perkataan atau ayat yang anda sendiri kurang pasti. Pastikan ia ringkas.
Dalam post sebelumnya saya menyebut supaya tidak menyalin bulat-bulat dari resume Jobstreet anda. Ini kerana jika 'copy paste' sahaja dari laman mencari pekerjaan, formatnya akan menghadkan apa yang sepatutnya dan harusnya ada di dalam. Format laman mencari kerja tidak memasukkan 'objektif' dan 'about me' di bahagian pengenalan resume anda. Format untuk pangkalan data laman web mencari pekerjaan direka untuk memuaskan semua jenis calon mencari pekerjaan. Ingat, laman web ini membenarkan anda menaikmuatkan resume anda dalam format .doc dan .pdf juga. Ambil peluang ini untuk menunjukkan kewibawaan anda menghasilkan resume yang profesional!
Yang penting kelayakan bukan? Penting sangatkah resume?
Hakikatnya jika jawatan itu sesuai untuk anda dan anda sesuai untuk kerja itu, sudah tentu anda mampu mendapatkannya bukan? Majikan pula sangat teliti untuk tidak mendapatkan calon yang terlebih layak juga, sudah tentu kerana tidak sanggup membayar gaji yang diharapkan. Ia seperti jodoh perkahwinan, jika sesuai, maka jadilah ia. Jika tidak, resume yang profesional mana pun tak akan diendah. Tetapi, dalam zaman penuh persaingan ini, kita perlu lebih menonjol daripada calon lain yang sama kelayakan, sama umur, sama pengalaman dengan kita. Sebelum temuduga, resume kita menjadi alat penilaian paling pertama. Ia mungkin boleh membantu menyingkatkan masa anda mencari pekerjaan walaupun ada banyak lagi faktor yang mempengaruhi.
Kaji dahulu jenis industri yang anda akan ceburi dan apakah butir-butir yang sesuai dimasukkan di dalam resume anda.
Jika anda seorang fresh graduate, anda cuma ada pengalaman semasa latihan industri. Tidak banyak yang boleh anda tonjolkan selain daripada kelulusan anda. Selain menggunakan cover letter, anda boleh memulakan resume anda dengan objektif dan tentang anda (About Me). Mari kita lihat contoh:
Objective: To serve and gain experience in a in a position where I can effectively utilize my talent and knowledge in human relations, project management, and staff recruitment and retention.
Lihat lebih banyak contoh di sini.About Me: I graduated in BSc in HR Management from XYZ University. I am a talented young man, eager to start a career in HR management, an effective communicator and ambitious.
Jika anda sudah berpengalaman beberapa tahun, nyatakan keinginan anda mengapa hendak beralih dari kerjaya anda sekarang. Ini lebih meyakinkan pihak majikan.
Bergantung kepada jawatan yang anda pohon, resume haruslah spesifik terutama di bahagian objektif. Resume anda harus fleksibel dan tidak perlu sama untuk semua jawatan berlainan yang anda pohon (industri dan saiz syarikat mungkin berlainan). Jangan hantar resume yang difotokopi! Jika anda serius dan hendak menonjol, jadikan resume anda seakan-akan unik dan bertujuan untuk jawatan tersebut sahaja. Ini menunjukkan anda serius, profesional dan bercita-cita tinggi.
Cetak resume dengan pencetak jet. Gunakan kertas berwarna kerana resume yang lain rata-ratanya hanya kertas putih. Anda boleh memilih untuk lebih menonjol dengan menggunakan kertas berwarna tetapi yang cerah dan bukan gelap.
Masukkan footer di setiap mukasurat kerana kadang-kadang pihak majikan boleh menghilangkan mukasurat resume anda secara tidak sengaja dan boleh jadi tertimbun di bawah resume-resume yang lain! Di dalam footer itu, tapi 'Resume <nama penuh anda>' dan 'Page X of T'. Sekurang-kurangnya pihak majikan tahu jika mukasurat anda terjatuh di mana-mana.
Jika menghantar resume secara email, pastikan ia di dalam format PDF. Simpan fail tersebut dan beri nama contohnya: azizi_resume.pdf kerana pihak majikan akan menyimpannya di dalam komputer mereka. Bila hendak mencari semula, ia mudah dicari berbanding jika diberi nama resume.pdf sahaja, kerana resume orang lain juga akan lebih kurang mempunyai nama fail yang sama.
Gunakan gambar yang menunjukkan anda sedang senyum (disyorkan menunjukkan gigi) dan nampak yakin. (Lihat post sebelumnya: Kesilapan Umum Menulis Resume).
Resume tidak perlu panjang berjela. Hanya masukkan maklumat penting seperti butir peribadi, kontek, pendidikan, kemahiran (komputer dan lain-lain), pengalaman, pencapaian lain dan rujukan.
Butir peribadi
Di negara barat, anda tidak wajib menyatakan umur, bangsa, agama atau status perkahwinan (malah jantina pun boleh dikecualikan). Akan tetapi untuk Malaysia, ini akan ditanya juga di setiap borang memohon jawatan di syarikat-syarikat. Di dalam resume anda, anda boleh memilih untuk mengecualikan bangsa dan agama kerana itu mungkin ketara dari nama anda sendiri. Jika anda risau yang status perkahwinan anda menjadi pengukur, anda juga boleh mengecualikannya terlebih dahulu dan menanganinya secara lebih vokal sewaktu temuduga. Anda perlu utamakan cara untuk menonjolkan pengalaman, bakat dan kemahiran anda di bahagian seterusnya.
Pengalaman Bekerja
Mulakan dengan yang terkini sehingga yang paling lama. Untuk setiap majikan, nyatakan syarikat tersebut dan tempoh anda berkhidmat. Selain daripada jawatan, masukkan sekali tanggungjawab anda dan sangat penting, pencapaian anda (your achievements) kerana pihak majikan amat menitikberatkan hal ini.
Kemahiran
Nyatakan kemahiran anda yang berkaitan seperti kemahiran komputer. Masukkan juga kemahiran lain seperti kemahiran penulisan teknikal, presentasi dan berkomunikasi.
Hobi dan aktiviti
Anda juga boleh memasukkan hobi anda dan aktiviti di masa lapang untuk menggambarkan identiti anda (dengan syarat hobi anda semuanya baik dan bukan melanggar undang-undang :))
Rujukan/Referee
Ramai yang membuat silap dengan meletakkan nama rujukan secara sembarangan dan tidak bercakap dengan rujukan itu terlebih dahulu. Etika terbaik ialah bercakap dengan rujukan anda dan minta kebenaran menggunakan nama mereka sebagai rujukan terlebih dahulu. Bincangkan dengan mereka jika boleh tentang cita-cita anda mencari pekerjaan baru dan apakah ciri-ciri atau maklumat yang perlu diketengahkan tentang diri anda. Jangan terkejut kerana ramai majikan akan menghubungi rujukan anda untuk menyiasat tentang karakter, pencapaian dan kesahihan maklumat anda. Jangan pula sampai rujukan anda terkejut mendapat panggilan dari syarikat XYZ! Beritahu mereka agar mereka akan lebih bersedia mengesahkan kesahihan identiti dan kewibawaan anda. Rujukan perlulah individu profesional yang tiada hubungan kekeluargaan atau kawan biasa dengan anda. Rujukan anda perlu mampu menceritakan kewibawaan anda untuk jawatan yang anda sedang pohon.
Semoga tips-tips di atas dapat membantu anda dan lebih cemerlang di dalam pencarian pekerjaaan anda.
0 komen:
Post a Comment